AYER KEROH - Barisan Nasional (BN) mendahului penjumlahan undi di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) pula di tiga kerusi setakat ini.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Pusat Gerakan BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini pada Sabtu malam.
Beliau turut memaklumkan BN sudah melepasi garisan untuk memenangi 11 kerusi DUN berdasarkan penjumlahan undi semasa.
Sebelas kerusi berkenaan ialah Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Sungai Udang, Duyong, Rim, Sungai Rambai, Merlimau dan Machap Jaya.
Pengumuman itu disambut sorakan penyokong yang berada di pusat gerakan berkenaan.
Bagaimanapun, angka tersebut merupakan penjumlahan undi sementara dan keputusan rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).